Akal Yang Tersendiri


Akal tanpa ditunjangi oleh tauhid akal yang tersendiri

Akal yang tersendiri akal yang tidak ada kontrol bebas memikirkan apa sahaja

Sedangkan akal bukan Tuhan, ia dicipta Tuhan tentulah lemah,

jangkauannya adalah terbatas

Tidak semuanya dapat diteroka oleh akal

Padahal ciptaan Tuhan itu ada yang lahir ada yang batin

Ada yang boleh dilihat ada yang tidak boleh dilihat

Ada alam nyata, ada alam ghaib

Ada yang tersirat ada yang tersurat

Ada yang bersifat zahir, ada yang bersifat maknawi, ada yang bersifat rohani

Bahkan Tuhan, Dia adalah Zat yang mempunyai sifat

Dia adalah pencipta alam lahir dan alam ghaib

Menjadikan yang tersurat dan yang tersirat

Yang zahir, maknawi dan rohani

Dia pencipta bukan dicipta

Lebih-lebih lagilah akal tidak mampu mengetahui semata-mata kekuatan akalnya

Kalau dia tidak bersandar dengan kekuatan wahyu dari Tuhan

kebenaran mutlak sudah tentulah tidak diketahuinya

Kerana itulah orang yang berbangga dengan akal hendak menyelesaikan dengan akal selalu sahaja bercanggah dan tersalah

Apabila bercanggah selalulah berbalah

Apabila selalu berbalah memecahkan ukhwah

Manakala nafsu pula campurtangan dititi pula oleh syaitan

Orang yang menggunakan akal semata-mata datang sakit hati,

hasad dengki pun menyerang

Jurang perbalahan pun bertambah dalam

Berlakulah pergaduhan, permusuhan dan peperangan

Begitulah sifatnya akal apabila bersendiri tanpa ditunjang oleh Tuhan

Dia telah menuhankan diri sendiri iaitu akalnya

Fikirlah tuhan yang bukan Tuhan hendak menjadi Tuhan tentulah banyak kesilapan

Macam manalah tidak haru-biru kehidupan insan

Akal yang lemah tidak mengaku lemah

Akal yang banyak perkara tidak tahu memaksa-maksa diri tahu

Tidak haru-birukah? Tentulah haru-biru

Dunia yang haru-biru kerana akallah

Dunia sudah jadi neraka kerana akallah yang mengambil alih kuasa Tuhan

Tuhan berlepas diri, tanggunglah sendiri

Tuhan tidak susah, Maha Suci Tuhan daripada susah

Yang susah dan parah adalah manusia itu sendiri

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi